Ahad, 5 Ogos 2012

BAGAIMANA NASIB PEKEBUN PISANG DI BAGAN DATOH ?





MASALAH BIASA BILA NAK RAYA !


Minyak masak, ikan kurang

PARIT BUNTAR - Persatuan Penjaja-penjaja Peniaga-Peniaga Kecil (PPPK) cawangan Parit Buntar menggesa bekalan minyak masak dan ikan dapat dipertingkatkan menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri.
Pengerusinya, Abdul Halim Mohamed berkata, kekurangan bekalan minyak masak berlaku sejak permulaan Ramadan dan setiap keluarga hanya dibenarkan membeli satu paket minyak dari pasaraya.

Menurutnya, senario itu merisaukan golongan peniaga terutama penjaja kecil. “Pihak kami turut mengenal pasti bekalan ikan agak berkurangan di sekitar Parlimen ini sejak bermulanya Ramadan yang dipercayai berikutan musim  tengkujuh.

"Bagaimanapun, permintaan ikan dalam kawasan Parlimen Parit Buntar sangat meluas terutamanya musim perayaan dan saya berharap ia dapat ditangani dengan segera,” katanya pada majlis berbuka bersama Skuad Pengguna  anjuran Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi (PPDNKK) Cawangan Kerian.

Hadir sama, Ketua PPDNKK cawangan Kerian, Abdul Rahman Yang Mohd Yusof dan Penyelaras Dun Titi Serong, Abu Bakar Md Ali. Ditanya mengenai situasi barangan kawalan lain seperti daging lembu, ayam dan santan kelapa,  bdul Halim menjelaskan bekalan stok serta harga kesemua item itu masih terkawal.

Menurutnya, pihaknya turut mendapati bekalan sayur-sayuran segar juga tidak berdepan dengan sebarang masalah walaupun peniaga dikejutkan dengan harga bawang putih yang melambung baru-baru ini.

“Kami difahamkan masalah kenaikan mendadak harga bawang putih disebabkan berlaku banjir di negara pengeluar, China.

“Bagaimanapun, pihak kami yakin PPDNKK cawangan Kerian mempunyai langkah proaktif untuk memastikan kesemua barangan keperluan dan kawalan menjelang perayaan mencukupi sekali gus mengelakkan sebarang usaha  manipulasi harga,” katanya. Sementara itu, Abdul Rahman menjelaskan PPDNKK cawangan Kerian masih tidak menerima sebarang aduan yang melibatkan bekalan stok minyak masak dan ikan berkurangan di daerah itu sehingga kini.

Bagaimanapun, pihaknya akan meningkatkan pemantauan terhadap kedua-dua barangan itu bagi memastikan penduduk Kerian tidak ketandusan bekalan menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri.

“Pihak kami juga masih belum menerima sebarang aduan mengenai kenaikan harga barang tertentu selain mengenal pasti stok bekalan barang keperluan untuk perayaan mencukupi.

“Berdasarkan harga yang diletakkan terhadap 13 barang kawalan yang ditetapkan Skim Kawalan Harga dilancarkan kerajaan baru-baru ini, PPDNKK bersedia melakukan pemantauan menyeluruh termasuk di kawasan pedalaman.

“Pada  masa sama, saya ingin menasihatkan pengguna supaya bijak membuat perbandingan harga dan memilih premis yang menawarkan harga lebih rendah bagi memastikan usaha memanipulasi harga barang dapat dibanteras,”  katanya. 

ADAKAH MALAYSIA BOLEH CAPAI EMAS ?


Peluang terakhir Chong Wei raih emas pertama

BINTANG sensasi badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mengakhiri pencarian pingat pertama Malaysia sekali gus bakal menamatkan kemarau pingat emas Sukan Olimpik dalam acara akhir perseorangan lelaki di Arena Wembley, hari ini.



Akan menghadapi musuh tradisi, Lin Dan dari China, Chong Wei sudah pasti enggan mengulangi pertemuan final di Olimpik Beijing empat tahun lalu apabila Lin Dan menewaskan jaguh badminton negara itu 21-12, 21-8 untuk merangkul pingat emas.

Sudah menggenggam pingat dalam acara perseorangan lelaki meskipun tewas kepada Lin Dan, Chong Wei ternyata tidak mahu mensesiakan peluang yang ada apabila pemain nombor dua dunia itu, kini hanya selangkah lagi untuk mencipta sejarah terakhir buat Malaysia dalam Sukan Olimpik apabila berada di laluan emas.

Sedar dengan cabaran yang bakal dihadapi memandangkan Lin Dan sudah pasti akan mempertahankan pingat emas edisi Beijing 2008, Chong Wei berkata, beliau kini perlu bersedia dari segi kekuatan mental.

“Meskipun kami pernah bertemu di saingan sama empat tahun lalu, namun kali ini keadaannya jauh berbeza kerana Arena Wembley adalah gelanggang berkecuali,” katanya yang berjaya menewaskan rakan senegara Lin Dan, Chen Long dalam saingan separuh akhir kelmarin.

Pada pertemuan dengan Chen Long, Chong Wei begitu tenang dan dapat membaca gerakan pemain ranking ketiga dunia itu sehingga mampu menewaskannya 21-13, 21-14.

Mengikut statistik, Lin Dan mempunyai kelebihan ke atas Chong Wei dengan memenangi 20 daripada 29 pertemuan antara mereka.

Pada pertemuan terakhir semasa Kejohanan Seluruh England Mac lalu, Lin Dan mendahului 21-19 pada set pertama dan 6-2 pada set kedua apabila Chong Wei menarik diri akibat kecederaan buku lali.

Chong Wei kali terakhir menumpaskan Lin Dan adalah pada Terbuka Korea, Januari lalu dengan 12-21, 21-18 dan 21-14.