Akan menghadapi musuh tradisi, Lin Dan dari China, Chong Wei sudah pasti enggan mengulangi pertemuan final di Olimpik Beijing empat tahun lalu apabila Lin Dan menewaskan jaguh badminton negara itu 21-12, 21-8 untuk merangkul pingat emas.

Sudah menggenggam pingat dalam acara perseorangan lelaki meskipun tewas kepada Lin Dan, Chong Wei ternyata tidak mahu mensesiakan peluang yang ada apabila pemain nombor dua dunia itu, kini hanya selangkah lagi untuk mencipta sejarah terakhir buat Malaysia dalam Sukan Olimpik apabila berada di laluan emas.

Sedar dengan cabaran yang bakal dihadapi memandangkan Lin Dan sudah pasti akan mempertahankan pingat emas edisi Beijing 2008, Chong Wei berkata, beliau kini perlu bersedia dari segi kekuatan mental.

“Meskipun kami pernah bertemu di saingan sama empat tahun lalu, namun kali ini keadaannya jauh berbeza kerana Arena Wembley adalah gelanggang berkecuali,” katanya yang berjaya menewaskan rakan senegara Lin Dan, Chen Long dalam saingan separuh akhir kelmarin.

Pada pertemuan dengan Chen Long, Chong Wei begitu tenang dan dapat membaca gerakan pemain ranking ketiga dunia itu sehingga mampu menewaskannya 21-13, 21-14.

Mengikut statistik, Lin Dan mempunyai kelebihan ke atas Chong Wei dengan memenangi 20 daripada 29 pertemuan antara mereka.

Pada pertemuan terakhir semasa Kejohanan Seluruh England Mac lalu, Lin Dan mendahului 21-19 pada set pertama dan 6-2 pada set kedua apabila Chong Wei menarik diri akibat kecederaan buku lali.

Chong Wei kali terakhir menumpaskan Lin Dan adalah pada Terbuka Korea, Januari lalu dengan 12-21, 21-18 dan 21-14.