Kedua-dua mangsa dalam perjalanan pulang dari tempat kerja ke rumah masing-masing dekat Hutan Melintang, menaiki kereta jenis Proton Wira berwarna putih bersama-sama dua lagi rakan mereka.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, mangsa dikenali sebagai Chai Wei Tack, 20 dan pekerjanya, L. Nanthan Kumaran, 27, maut di tempat kejadian.

Kejadian berlaku apabila mangsa dan rakannya dalam perjalanan pulang dari arah Teluk Intan ke Hutan Melintang dari tempat kerja ke rumah, masing-masing cuba memotong kenderaan di hadapan.

“Kereta yang dipandu oleh Wei Tack itu gagal memotong lalu merempuh sebuah lori muatan sawit yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 41 tahun, dari arah bertentangan.


“Rempuhan itu mengakibatkan lori itu terbalik bersama-sama dengan muatannya di tengah-tengah jalan dan sebuah kereta jenis Volvo yang dipandu seorang pelajar bersama dua orang rakannya berusia di antara 17 hingga 22 tahun yang berada di belakang lori tersebut turut melanggar lori itu kerana jarak terlalu dekat,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Kok Liang berkata, kesemua pemandu dan penumpang kereta jenis Volvo dan juga lori yang membawa muatan kelapa sawit tidak mengalami kecederaan.

Katanya, Wei Tack dan pekerjanya maut di tempat kejadian manakala dua orang rakannya dikejarkan ke Hospital Teluk Intan untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Salah seorang daripadanya dimasukkan wad kerana mengalami kecederaan di kepala manakala seorang lagi dibenarkan pulang selepas mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar.

Menurutnya, kedua-dua mangsa yang maut parah di bahagian kepala turut dihantar ke  Hospital Teluk Intan untuk dibedah siasat sebelum dituntut oleh waris masing-masing kira-kira jam 12 tengah hari semalam.

“Pihak kami  masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian dan siasatan masih dijalankan di bawah Sekyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.